PASIR SALAK: Lebih 3,000 pelajar sekolah di seluruh Perak menerima bantuan kembali ke sekolah yang bernilai hampir RM500,000.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, bantuan itu diedarkan kepada pelajar kurang berkemampuan di kesemua 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak.

Menurutnya, selain itu, bantuan keperluan untuk membendung pandemik COVID-19 turut disumbangkan wakil-wakil rakyat, pemimpin masyarakat dan agensi-agensi yang berkenaan, mengikut keperluan.

“Kerajaan negeri Perak amat prihatin dengan keadaan pandemik COVID-19 yang telah memberikan kesan kepada masyarakat kebanyakkannya di mana ramai yang merasa kesusahannya, samada hilang pekerjaan ataupun pendapatan berkurangan dan sebagainya.

“Jadi ini adalah inisiatif yang kita mengatakan bahawa kerajaan ini begitu prihatin ke arah masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis perasmian program ‘Seronok ke Sekolah 2021’ yang disempurnakan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di sini, hari ini.

Pada majlis itu seramai 100 pelajar kurang berkemampuan menerima bantuan pakaian sekolah yang lengkap dan beg.

Memandangkan sesi persekolahan dijangka bermula 20 Januari depan, penyampaian bantuan akan diselesaikan menjelang 16 Januari 2021.

Program merupakan anjuran bersama Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sementara itu, Tajuddin di dalam ucapannya menasihatkan para penerima bantuan supaya berusaha untuk memperbaiki taraf hidup keluarga.