TELUK INTAN: Sejumlah 32,774 murid Tahun Satu memulakan hari pertama sesi persekolahan 2018 hari ini di seluruh Perak.

Pengarah Pendidikan negeri, Datuk Mat Lazim Idris berkata daripada jumlah itu, 23,859 murid bersekolah di Sekolah Kebangsaan; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (7,113);  Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (1,709) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan seramai 93 murid.

Beliau berkata bagi pelajar Tingkatan Satu pula, seramai 34,817 telah mendaftar di sekolah menengah seluruh negeri.

“Hari pertama sesi persekolahan hari ini berjalan lancar dan semua sekolah beroperasi walaupun terdapat beberapa sekolah mempunyai sekolah kurang murid,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Kampung Bahagia di sini hari ini.

Terdapat 1,100 sekolah rendah dan menengah beroperasi di seluruh negeri Perak. BERNAMA