IPOH: Lebih 4,000 peniaga pasar malam di Bandaraya Ipoh merayu agar pihak berkuasa membenarkan mereka berniaga semula untuk meneruskan kelangsungan kehidupan selepas hampir tiga bulan hilang pendapatan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diikuti Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Mereka juga bersedia untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketat yang akan ditetapkan oleh kerajaan.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Melayu Pasar Malam Bergerak Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, sejak PKP dan PKPB dilaksanakan 18 Mac lalu, kebanyakan mereka tidak mempunyai pendapatan langsung kerana hanya mengharapkan berniaga di pasar malam.

Menurutnya, kebanyakan peniaga pasar malam tidak termasuk di dalam senarai penerima bantuan yang disalurkan oleh kerajaan, khususnya melalui kerajaan negeri.

“Jadi saya mintalah pihak kerajaan supaya memandang serius masalah ini supaya kami dapat berniaga semula lah di pasar malam yang ada di bandaraya ini.

“Kalau kita tak ada pendapatan, mungkin dalam sebulan dua simpanan kita ada lagi, lepas tu langsung tak ada.

“Kita bukannya nak menyalahkan kerajaan, kita faham masalah penyakit ni tapi dua-dua ni perlu, cari makan perlu dan hindari penyakit juga perlu,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau memberi jaminan, persatuan akan akur dengan SOP yang ditetapkan kerajaan seperti menghadkan bilangan peniaga dalam satu-satu kawasan pasar malam, menghadkan kemasukan pelanggan dalam satu-satu masa di samping mengambil maklumat mereka dan menyediakan hand sanitizer.

Setiausaha Persatuan Penjaja Pasar Pagi dan Pasar Malam Ipoh, Wong Kok Hoe pula berkata, ramai di antara lebih 400 ahlinya langsung tidak mempunyai pendapatan sejak hampir tiga bulan lalu.

“Kita harap kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan kami berniaga dengan SOP yang ditetapkan.

“Macam di restoran, dua orang duduk satu meja, kita boleh ikut, mungkin kita boleh kawal orang masuk pasar malam pada satu-satu masa, misalnya kalau 100 peniaga, mungkin kita hadkan 200 orang masuk,” ujarnya.

Pengerusi Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI), Sharul Baha Abdul Rahman yakin, persatuan dan peniaga akan mematuhi SOP yang ditetapkan kerajaan, asalkan mereka dibenarkan untuk berniaga.

“Kita bukan sahaja bimbang rakyat terkena jangkita COVID-19, kita kena jaga peniaga-peniaga kita juga.

“Contohnya laluan masuk, kita boleh buat satu laluan, kita boleh ambil suhu, kita boleh ambil nama dan kanak-kanak bawah 12 tahun dan warga emas lebih 60 tahun tidak dibenarkan masuk ke pasar malam,” katanya.

Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Penjaja Kecil Melayu Perkasa Perak, Kamal Razali, keadaan peniaga pasar malam sekarang semakin kritikal kerana kehilangan pendapatan.

“Kebanyakan mereka tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), hanya ada lesen pasar malam sahaja, itu sebab mereka tidak dapat bantuan. Jadi minta kerajaan tengok-tengokkanlah peniaga pasar malam ni, memang dan kritikal sangat dah,” ujarnya.