IPOH: Lebih 50 peratus pengusaha dan usahawan kecil di negeri ini dilihat masih tidak memohon sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang diyakini mampu melebarkan perniagaan bukan sahaja domestik bahkan di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Penerangan, Mohd Akmal Kamarudin berkata walaupun pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi meningkatkan permohonan sijil halal, namun semuanya bergantung kepada sikap peniaga itu sendiri.

“Masih ramai yang tidak memohon sijil halal, sebabnya itu kena tanya peniaga sendiri. Kita pun tidak boleh mudahkan (permohonan sijil halal) kerana ia berkaitan dengan halalan toyyiban.

“Kualiti dan bersih, ada juga yang ditarik balik sijil halal sebab dia gagal mematuhi pensijilan halal terutama dari segi kebersihan. Mereka tengok ada sijil halal itu dan mereka yakin dengan kita dan masuk menikmati makanan di situ.

“Kita kena tegas dalam bab ini, kita galakkan peniaga persendirian mohon sebab bayaran yang dikenakan serendah RM 200 sahaja, kalau cukup syarat InshaAllah kita akan bagi,” katanya.

Mohd Akmal berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pematuhan Halal di Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau berkata ia bagi meningkatkan kefahaman peserta yakni pemegang sijil pengesahan Malaysia mengenai keperluan dan kepentingan standard pensijilan dan penguatkuasaan Pensijilan Halal.

Ujarnya, kerajaan negeri turut akan memperluaskan pelbagai kempen dan program di seluruh negeri bagi memastikan lebih ramai peniaga dan usahawan memohon sijil halal.

Sehingga kini jumlah rekod pemegang sijil pengesahan halal yang masih sah di Perak berjumlah 812 permohonan.

Ia melibatkan kategori seperti barang gunaan,kosmeti dan dandanan diri, premis makanan, produk makanan/minuman serta makanan tambahan dan rumah sembelihan.