Oleh:Nazialita Geynna Maharan

BATU KURAU: Seramai 535 mangsa banjir dan ribut di sekitar Parlimen Larut menerima sejumlah RM108,000 bantuan kewangan bagi membantu meringankan beban mereka yang dilanda bencana berkenaan sekitar penghujung bulan ini.

Ianya merupakan sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Larut bagi mangsa-mangsa banjir di Ulu Sepetang, Ceruk Pelanduk, Cangkat Larah, Anak Kurau, Simpang 4, dan Changkat Lobak.

Majlis penyampaian bantuan termasuk makanan telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Larut, Datuk Hamzah Zainuddin di Arena Batu Kurau pada Sabtu.

Seramai 33 penduduk telah menerima bantuan berjumlah RM30,000 bagi meringankan beban mereka selepas kediaman dilanda ribut Sabtu lepas manakala agihan RM75,000 akan diserahkan bermula ‪pada 6 April‬ hadapan.

Sementara itu, Hamzah yang juga merupakan Menteri Perdagangan, Koperasi Dalam Negeri dan Kepenggunaan (KPDNKK) juga turut meluangkan masa melawat beberapa mangsa ribut di kawasan Redang Panjang.

Beliau dalam pada itu sempat memberikan nasihat dan mengingatkan masyarakat agar segera menghentikan budaya fitnah kepada pemimpin kerana ianya tidak mendatangkan sebarang faedah.

“Kalau kita sayangkan negara budaya fitnah perlu dihentikan kerana ia akan menyebabkan kita berpecah dan sesama kita ada perasaan syak wasangka dan boleh bergaduh sesama sendiri.

“Saya tidak mahu perkara ini berlaku kerana saya mahukan masyarakat di sini hidup dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya.