SLIM RIVER: Antara 500 hingga 600 pegawai dan anggota polis ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK)Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim yang akan diadakan pada Sabtu.

Penempatan mereka bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar serta keselamatan dan ketenteraman awam dijaga dengan baik.

Ketua Polis Daerah Muallim, Supritendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, polis juga akan membuat sekatan dan penutupan jalan mulai jam 6.30 pagi di sekitar Majlis Daerah Tanjung Malim yang menjadi pusat penamaan calon.

“Pada hari penamaan calon yang akan berlangsung pada esok hari, 15 Ogos, pihak polis akan mendirikan dua sekatan jalan raya di jalan persekutuan KL – Ipoh iaitu di kilometer 117 arah selatan dan kilometer 121 arah utara menghala ke pusat penamaan calon.

“Untuk makluman juga, laluan masuk ke pusat penamaan calon juga ditutup iaitu yang pertama simpang masuk ke Majlis Daerah Tanjung Malim dari jalan persekutuan iaitu berhadapan Petronas Behrang 2020 dan yang kedua, laluan masuk ke Majlis Daerah Tanjung Malim melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana,” katanya.

Beliau ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim di Slim River pada Jumaat.

Pihak polis telah menetapkan laluan masuk ke pusat penamaan calon bagi parti Barisan Nasional melalui Jalan Wawasan Mesra Perdana manakala calon yang lain daripada boleh menggunakan laluan di jalan persekutuan.

Supritendan Sulizmie turut menasihati calon-calon yang akan menyerahkan borang pencalonan supaya mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Bagi proses penamaan calon saya ingin menegaskan bahawa segala aktiviti berkumpul dan perarakan oleh penyokong parti adalah tidak dibenarkan di mana-mana tempat sepanjang hari penamaan calon.

“Pihak polis hanya akan membenarkan tiga orang sahaja iaitu calon, sorang pencadang dan sorang penyokong untuk masuk ke pusat penamaan calon, termasuk mana-mana petugas yang mempunyai pas atau tanda nama yang dikeluarkan oleh pihak Suruhanjaya Pilihan Raya,” ujarnya.