IPOH– Lebih 5,000 penganut agama Hindu dan orang ramai membanjiri Kuil Sri Subramaniar dekat Gunung Cheroh, di sini bagi meraikan sambutan Thaipusam yang bermula hari ini sempena menghormati dewa Murugan, juga dikenali sebagai Dewa Subramaniam.

Di Perak, Kuil Sri Subramaniar sememangnya menjadi tumpuan pada setiap kali sambutan Thaipusam dengan pelbagai upacara agama serta perarakan pedati dan pembawa kavadi.

Jumlah kehadiran dijangka akan meningkat berikutan orang ramai yang datang secara berperingkat bermula hari ini hingga Rabu, untuk melancarkan perarakan Chariot atau kereta kuda beroda dua dari Kuil Sri Maha Mariamman, Sungai Pari ke Kuil Sri Subramaniar.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu meluangkan masa hadir ke sambutan perayaan itu bagi melihat sendiri suasana perayaan serta adat dan tradisi masyarakat India.

“Saya mendapat makluman begitu ramai pihak swasta datang membantu memberi sumbangan makanan dan sebagainya, perkara ini amat kita alu-alukan dalam masa yang sama banyak agensi Kerajaan turut mengambil bahagian untuk memberi perkhidmatan kepada rakyat.

“Untuk kali ini saya telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM 50,000 kepada kuil ini (Kuil Sri Subramaniar) dan sebenarnya di masa akan datang pihak kuil sentiasa beri kerjasama dengan kerajaan negeri,” katannya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Thaipusam 2019 di Kuil Sri Subramaniar, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Perak, ACP Mohamad Laham berkata seramai 780 orang anggota polis dari pelbagai pangkat telah ditugaskan bersempena perayaan tersebut.

Tugasan yang bermula sejak semalam (Ahad) itu khusus untuk memastkan kelancaran dan keselamatan orang ramai yang hadir ke kuil tersebut.

“Tugas kami di sini meronda dan memastikan penganut-penganut agama Hindu yang datang menunaikan upacara agama berjalan lancar, keselamatan juga dijamin dari awal hingga akhir.

“Mereka datang secara berperingkat dan dijangka lebih ramai akan datang, setakat ini tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku, kami harap semuanya berjalan dengan lancar,” katanya ketika ditemui di majlis itu.

Secara amnya, Thaipusam dirayakan pada bulan Thai iaitu bulan kesepuluh dalam kalendar Tamil, disusuli bulan penuh melintasi bintang terang.

Hari Thaipusam juga merupakan hari menunaikan nazar dan menebus dosa serta memohon ampun atas dosa-dosa yang dilakukan sepanjang tahun.

Penganut agama Hindu menunaikan nazar kepada Dewa Murugran dan jika permohonan dikabulkan, satu acara tertentu diadakan sebagai tanda kesyukuran.