KUALA KANGSAR, 27 DIS : Pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini, mengambil masa lebih lapan jam untuk memadam kebakaran di sebuah pasar raya di Jalan Kuala Kangsar-Taiping berhampiran Talang, di sini, petang semalam.

Dalam kejadian 4.49 petang semalam, lebih separuh bahagian pasar raya dua tingkat dengan keluasan 779.6 meter persegi itu musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hamidi Manas, berkata bagaimanapun tiada kecederaan atau maut dilaporkan kerana semua pekerja dan pelanggan di dalam pasar raya itu sempat keluar sebelum api marak.

Katanya, anggota dari BBP Kuala Kangsar dibantu BBP Sungai Siput dan BBP Taiping dikejarkan ke tempat kejadian bagi operasi memadamkan api.

“Anggota bomba menggunakan aliran hos 30 meter. Kita mengalami kesukaran memadamkan bara api dan bahagian bawah sisa kebakaran disebabkan padat dengan barangan di pasar raya itu.

“Kita juga mendapat bantuan jentera ALP (Aerial Ladder Platform) dari BBP Ipoh dalam operasi itu yang berakhir jam 2.15 pagi,” katanya ketika dihubungi BH.

Katanya, bomba sudah beberapa kali memberi notis kepada pemilik premis mengenai pengubahsuaian struktur dalaman premis itu dikatakan tidak menepati spesifikasi ditetapkan.

“Ubah suai dilakukan agak banyak antaranya penutupan sebelah tangga yang digantikan dengan eskalator khususnya hanya untuk mengangkat barang, selain susunan barang terlalu padat yang menyebabkan api merebak cepat,” katanya. – BERITA HARIAN