IPOH : Lebih 8,000 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ditugaskan sepanjang musim perayaan Tahun Baharu Cina ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Soiman Jahid berkata ia bagi memastikan keselamatan rakyat terjamin sepanjang musim perayaan yang akan disambut Sabtu ini.

“Di samping kita menjalankan rondaan di jalan dan lebuh raya utama, kita juga akan membuat pemeriksaan di premis perniagaan yang dikunjungi orang ramai bagi memastikan ia selamat dikunjungi.

“Untuk di lebuh raya kita tiada ‘hotspot’, kita biasanya mendapatkan maklumat di mana keperluan untuk pasukan bomba bersiap sedia termasuk di plaza tol atau kawasan rehat dan rawat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Latihan dan Pengukuhan Pemantapan Jati Diri dan Khidmat Sosial JBPM di Rumah Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa di sini, hari ini.

Pada majlis itu, JBPM Perak serta kakitangan Cawangan Pengurusan Kewangan JBPM menjalankan gotong-royong membersih dan mengecat kawasan rumah jagaan itu serta memberi sumbangan berupa barangan keperluan sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Rumah Warga Emas Ikhtiar Selesa Villa yang ditubuhkan pada tahun 1999 itu mempunyai 17 orang penghuni tetap. – BERNAMA