SEREMBAN: Statistik Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) merekodkan sejak awal tahun ini hingga 17 September lalu, seramai 81,056 orang hilang pekerjaan di seluruh negara.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata melihat kepada perbezaan data kehilangan pekerjaan di antara Mac dan Mei tahun ini, berlaku peningkatan sebanyak 104 peratus.

Katanya, data itu selari kadar pengangguran negara yang melonjak kepada 5.3 peratus pada Mei lalu, membabitkan sejumlah 826,100 penganggur.

“Statistik SIP juga menunjukkan majoriti yang hilang pekerjaan adalah dari kumpulan yang berumur antara 25 hingga 34 tahun iaitu sebanyak 36.6 peratus, manakala 25 peratus membabitkan kategori profesional.

“Tiga industri dengan bilangan pekerjaan tertinggi pula adalah sektor pembuatan, penginapan, makanan dan minuman (F&B), pemborongan dan peruncitan.

“Penularan pandemik COVID-19 membawa perubahan yang cukup besar ke atas landskap pasaran buruh negara, khususnya majikan dan pekerja negara ini,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Penjanakerjaya Kementerian Sumber Manusia (KSM) Peringkat Negeri Sembilan 2020 di Pall Mall, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KSM, Datuk Jamil Rakon; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengarah PERKESO Negeri Sembilan, Fuad Alias.

Mengulas lanjut, Saravanan berkata, di Negeri Sembilan sahaja setakat 17 September lalu, seramai 2,796 orang telah hilang pekerjaan, tetapi seramai 1,072 sudah memperoleh pekerjaan semula.

Beliau berkata, setakat 17 September lalu, peratusan kadar pengangguran mula menurun dengan unjuran terkini bakal mencecah kepada 4.5 peratus menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, kerajaan akan terus melaksanakan pelbagai langkah proaktif bagi pemulihan ekonomi negara yang disasarkan kepada pelbagai lapisan masyarakat, bagi merangsang kewujudan lebih pekerjaan dan permintaan pekerja oleh majikan.

“Kerajaan memperuntukkan RM1.5 bilion bagi insentif pengambilan pekerja yang dimanfaatkan majikan.

“Ia membabitkan pengambilan perantis, menggajikan pekerja tempatan, golongan mudah terjejas, iaitu orang kelainan upaya (OKU) atau peserta program ‘Return to Work’

PERKESO dengan bantuan antara RM600 dan RM1,000, untuk tempoh maksimum enam bulan,” katanya.

Pada sidang media kemudiannya, Saravanan berkata, pihaknya sudah meminta PERKESO menjalinkan kerjasama dengan jabatan psikiatri hospital kerajaan menerusi program RESTART, supaya lebih ramai bekas pesakit mental dapat kembali bekerja.

“Setakat ini sebanyak 48 peratus peserta program itu telah dibantu dalam penempatan pekerjaan membabitkan enam hospital kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak 5,000 kekosongan jawatan ditawarkan pada karnival berkenaan hari ini membabitkan 35 majikan yang mengadakan temu duga terbuka.

Katanya, sejak PenjanaKerjaya anjuran KSM bermula 15 Jun hingga 17 September, seramai 12,435 majikan membuat pendaftaran bagi insentif pengambilan pekerja dan 7,838 majikan sudah pengambilan pekerja.

“Ini menjadikan sebanyak 37,340 orang pekerja telah diambil bekerja menerusi program ini,” katanya. – BH Online