LEBIH banyak serpihan pesawat dan anggota badan manusia dipercayai milik mangsa nahas pesawat Lion Air JT610 ditemui terapung di perairan Karawang, Jawa Barat pada Selasa.

Ketua Polis Jawa Barat, Agung Budi Maryoto berkata serpihan pesawat dihanyutkan ke Tanjung Karawang, sekitar tiga batu nautika dari lokasi nahas, akibat pergerakan arus laut.

Pesawat Boeing 737 Max 8 itu berlepas dari Jakarta menuju ke Pangkalpinang dilaporkan hilang dari radar pada pukul 6.30 pagi Isnin lalu dan dipercayai terhempas kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta.

Agung berkata misi mencari mayat mangsa nahas sukar ketika ini kerana mayat-mayat tersebut mulai tenggelam ke dasar laut.

Sementara itu, pasukan penyelam dari unit khas tentera laut Indonesia turut menjumpai dua bahagian badan manusia dari dasar laut pada Selasa.

Mayat tersebut dimasukkan ke dalam dua beg dan diserahkan kepada Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional Indonesia (Basarnas).

Pihak berkuasa Indonesia berkata semua objek yang dijumpai termasuk cebisan daging manusia dan serpihan pesawat akan dikumpul di Tanjung Priok untuk dianalisis.

Sementara itu, anggota badan manusia yang ditemui akan dihantar ke hospital untuk proses pengecaman. – china.org.cn