PUTRAJAYA: Sebanyak 75 peratus daripada kedai dan restoran yang sebelum ini tertakluk kepada Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tidak dikenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) selepas nilai ambang SST dinaikkan kepada RM1.5 juta berbanding RM500,000 di bawah GST.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, berkata ini bermakna hanya restoran yang mempunyai pendapatan melebihi nilai ambang RM1.5 juta setahun sahaja yang dikenakan SST enam peratus kepada pengguna.

Beliau berkata, nilai ambang yang ditetapkan bagi SST adalah tiga kali ganda lebih tinggi berbanding GST.

“Sebanyak 4,372 restoran yang mendaftarkan perniagaan masing-masing di bawah SST berbanding 17,574 restoran di bawah GST sebelum ini.

“Kami ingin memaklumkan bahawa kesan SST jauh lebih kurang daripada GST apabila hanya 25 peratus daripada restoran dan kedai kopi tertakluk di bawah SST,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, beliau juga menjelaskan bahawa cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus turut dikenakan di bawah SST sama seperti dilakukan ketika GST dilaksanakan.

Guan Eng berkata, pelaksanaan SST juga menyaksikan pengguna dapat menikmati harga kereta lebih rendah selepas lima jenama kenderaan iaitu Perodua, Honda, Toyota, Volkswagen dan BMW menawarkan pengurangan harga antara RM2,000 hingga RM3,000.

Selain itu, katanya, kementerian juga akan mengadakan pertemuan dengan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) bagi membincangkan sama ada persatuan itu dapat mengikut jejak REHDA Pulau Pinang yang mengurangkan harga rumah sebanyak 10 peratus bagi rumah berharga lebih RM300,000 di negeri berkenaan.

Menurutnya, kerajaan amat mengalu-alukan sebarang keputusan daripada pemaju untuk menurunkan harga rumah selari dengan pengecualian SST.

“Saya akan berjumpa dengan REHDA Malaysia untuk membincangkan sama ada langkah sama di Pulau Pinang boleh diamalkan di seluruh negara.

“Pada masa sama, kerajaan juga sentiasa komited untuk memastikan harga barang terkawal dengan pelaksanaan SST,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan kempen antipencatutan bagi mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati – berita harian