PETALING JAYA : PAS hari ini memberitahu kumpulan anti-Jawi bahawa adalah lebih mudah menerangkan Islam menggunakan bahasa ibunda masing-masing, sekali gus menolak dakwaan bahawa langkah memperkenalkan tulisan Jawi di sekolah vernakular bertujuan Islamisasi.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata, justeru beliau sendiri menggalakkan penganut Islam mempelajari pelbagai bahasa termasuk bahasa Cina dan Tamil, namun tidak memaksa penganut bukan Islam menukar bahasanya setelah memeluk Islam.

“Adalah lebih mudah menerangkan Islam dengan bahasa ibunda masing-masing bagi menarik bukan Islam kepada Islam daripada menggunakan tulisan Jawi. Maka janganlah jadikan satu-satunya sebab masuk Islam kerana tulisan Jawi.

“Sangat tidak saksama jika mereka menghalang kaumnya mempelajari bahasa kami. Lebih malang kalau tidak sedar dirinya (berada) di Alam Melayu. Tujuan bahasa untuk menjalinkan hubungan lebih erat dengan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hadi bagaimanapun tidak memetik nama mana-mana pihak, namun dipercayai merujuk kepada tindakan kumpulan pendidikan Cina Dong Zong yang membantah langkah Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan Jawi dalam subjek Bahasa Melayu tahun 4 di sekolah vernakular.

Semalam, Dong Zong bersama beberapa pertubuhan Cina menyuarakan kekecewaan terhadap tindakan polis mendapatkan injunksi mahkamah untuk menghalang kongres membincangkan pengenalan tulisan Jawi di sekolah vernakular mulai tahun depan.

Bahkan, hasil mesyuarat tertutup yang diadakan, 17 pertubuhan Cina itu bersepakat mempertahankan hak dan kuasa penentuan Lembaga Pengelola Sekolah ke atas semua dasar yang mahu dilaksanakan di sekolah vernakular.

Mereka turut menyeru Kementerian Pendidikan supaya mengadakan dialog dengan kumpulan pendidikan Cina dalam masa terdekat untuk menyelesaikan isu tulisan Jawi.

Menjelaskan tulisan Jawi sebagai tulisan asal bahasa Melayu, Hadi mendakwa, agenda menolak pemerkasaan bahasa itu merupakan agenda penjajah yang akhirnya ditolak rakyat sebelum ini, bersekali dengan agenda menolak mereka dari tanah air.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk mengisytiharkan “jihad” terhadap saki baki pihak meneruskan agenda “penjajahan baru”, yang menurutnya merupakan musuh yang wajib ditentang.

“Mereka yang mengambil langkah membenci bahasa Melayu berhuruf Jawi adalah terlampau ekstrem dan laksana menjolok sarang tebuan yang sangat besar bencana dan padahnya.

“Umat Islam dilarang mencari musuh, bahkan digalakkan berdamai. Tetapi kalau dipaksa berrmusuh, maka diharamkan berundur,” katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi kewajipan orang Melayu untuk berusaha kembali kepada tulisan asal bahasa Melayu yang sebelum ini dirosakkan penjajah Barat.

Bahkan beliau turut mengingatkan kaum lain yang datang ke Tanah Melayu supaya tidak fanatik dengan bahasa mereka.

“Kaum lain yang datang ke Tanah Melayu dan diberi hak berbahasa wajib mempelajari bahasa Alam Melayu. Jangan bersikap fanatik dengan bahasa kaum mereka di negeri asal usul dan berputar melawan arus di Alam Melayu ini,” katanya.