IPOH: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) berjaya mengutip lebih RM 1 juta bayaran kesalahan hutan melalui kompaun dan gantirugi kesalahan hutan bagi tempoh 11 bulan pertama tahun lalu.

Menurut kenyataan JPNPk, sehingga November lalu, sebanyak 56 kes kesalahan hutan berjaya dikesan dan diambil tindakan lanjut di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

Antara kesalahan hutan yang telah diambil tindakan oleh JPNPk adalah membawa hasil hutan tanpa kebenaran, penerokaan Hutan Simpan Kekal (HSK) tanpa kebenaran, memasuki HSK tanpa kebenaran dan pemilikan hasil hutan tanpa kebenaran.

“Pada 2019, seramai 69 orang ditahan dan ditangkap melibatkan pelbagai kesalahan hutan.

“Tangkapan dan penahanan melibatkan individu dan kumpulan-kumpulan yang telah dikenalpasti melakukan kesalahan hutan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Menurut kenyataan itu, sepanjang tahun 2019, sebanyak lapan kes kesalahan hutan telah dituduh  di Mahkamah Sesyen Jenayah Jumlah dengan jumlah denda RM72,000.

“Sebagai sebuah agensi kerajaan jabatan telah diberi tanggungjawab untuk mentadbir dan mengurus sumber hutan negeri Perak berkonsepkan pengurusan hutan secara berkekalan.

“Di dalam hubungan ini, aspek penguatkuasaan hutan adalah penting bagi memastikan matlamat pengurusan sumber hutan secara berkekalan khususnya dalam kawasan HSK dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang 2019, JPNPk telah berjaya melaksanakan sembilan operasi penguatkuasaan hutan bersepadu melibatkan pelbagai jabatan dan agensi seperti polis, Pejabat Daerah dan Tanah, Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Pasukan Gerakan Am (PGA), PERHILITAN, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Anti Dadah Kerajaan (AADK) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Secara keseluruhannya, pelaksanaan aktiviti penguatkuasaan bagi tahun 2019 berjaya membuahkan hasil yang amat baik di mana semua kejayaan yang dicapai ini adalah hasil maklumat orang ramai kepada berkenaan aktiviti penerokaan dan pencerobohan hutan di negeri ini,” ujarnya.