JOHOR BAHRU: Sebuah kenderaan Singapura yang memiliki 116 saman membabitkan nilai RM28,000 antara yang ditahan dalam Operasi Saman Tertunggak Warga Asing ke-10 (OSTWA 10) di sini.

Sehingga pagi tadi, operasi yang bermula sejak kelmarin itu berjaya mengutip RM611,000 membabitkan 3,174 saman tertunggak kenderaan warga Singapura.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata OSTWA 10 dilaksanakan serentak di dua lokasi iaitu Kawasan Rehat dan Rawat Gelang Patah dan Muzium Tokoh Jalan Lingkaran Dalam, di sini bagi kedua-dua pintu keluar Malaysia ke Singapura.

“Jumlah saman tertunggak kenderaan warga Singapura sejak tahun 2000 hingga tahun ini adalah sebanyak 247,278 membabitkan nilai lebih RM10 juta.

“Sepanjang dua hari operasi sejak kelmarin dan semalam, sebanyak 3,174 saman sudah diselesaikan membabitkan 2,687 warga Singapura dan 487 saman warga tempatan selain 198 saman baharu dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ketika mengadakan lawatan dan memantau OSTWA 10 di Muzium Tokoh Jalan Lingkaran Dalam di sini, hari ini.

Mohd Nadzri berkata, operasi berkenaan juga sebagai langkah persediaan kepada warga Singapura untuk menyelesaikan saman tertunggak mereka sebelum pelaksanaan permit kemasukan kenderaan bermotor asing (VEP) yang dijangka berkuatkuasa pada bulan hadapan.

“Operasi saman tertunggak kenderaan warga asing bukan saja dilaksanakan di Johor, malah ia membabitkan sempadan negara termasuk di utara (kenderaan Thailand) dan Sarawak serta Sabah (kenderaan Brunei dan Indonesia),” katanya.

Beliau berkata, seramai 116 pegawai dan anggota turut serta sepanjang tiga hari operasi berkenaan dilaksanakan.

-BH