KAMPAR:MCA akan meletakkan Naib Presidennya Datuk Senator Lee Chee Leong untuk bertanding di kerusi Parlimen Kampar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah parlimen itu pula akan ditandingi oleh Timbalan Ketua Bahagian MCA Kampar, Chang Gwo Chyang (Malim Nawar) dan Setiausaha Bahagian, Daniel Wa (Keranji).

Liow berkata beliau mempunyai keyakinan penuh Chee Leong mampu merampas semula kerusi parlimen itu yang ketika ini dipegang oleh parti DAP.

“Dia mempunyai keyakinan penuh saya, dia mungkin tak banyak bercakap tetapi dia seorang yang sentiasa bekerja keras, kita perlukan pemimpin seperti ini yang mempunyai komitmen tinggi untuk berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu ucapan di sini pada Ahad.

Dalam masa sama, Tiong Lai turut yakin pemilihan dua calon untuk DUN dari MCA itu juga mampu membuat kejutan pada PRU depan.

“Gwo Chyang merupakan anak jati Kampar yang memahami kehendak rakyat sekitar kawasan ini manakala Daniel pula seorang anak muda yang penuh bersemangat.

“Mari kita semua bersatu dan memberi sokongan penuh kepada ketiga-tiga calon ini, beri mereka mandat supaya mereka dapat memperjuangkan suara komuniti cina parlimen ini,” ujar beliau.

Chee Leong merupakan bekas ahli Parlimen Kampar selama satu penggal pada 2008 sehingga 2013. Pada PRU13, beliau tewas kepada calon DAP Dr Ko Chung Sen.

Ketika ini Parlimen Kampar dipegang Dr Chung Sen, manakala Leong Cheok Keng dan Chen Fook Chye adalah ADUN dari Malim Nawar dan Keranji. Kesemua mereka merupakan wakil rakyat DAP.