KUALA LUMPUR: Jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan pertembungan dengan musuh tradisinya yang juga juara dunia lima kali, Lin Dan sebagai sesuatu yang istimewa.

Dengan segala pertemuannya dengan jaguh dari China itu sebelum ini sentiasa menjadi tumpuan, Chong Wei sekali lagi beraksi melawan pemenang dua kali pingat emas Olimpik itu pada aksi suku akhir All England, malam ini.

Semalam, pemain nombor satu negara itu terpaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan tiga set 21-6, 13-21, 21-18 ke atas pemain Korea Selatan, Lee Dong Keun pada aksi pusingan kedua di Birmingham Arena.

Chong Wei yang juga penyandang juara dan memburu gelaran kelima ketika dihubungi berkata: “Saya yakin bukan rakyat Malaysia saja menantikan perlawanan di antara Chong Wei dan Lin Dan, tetapi seluruh dunia.

“Bagi saya, saya mahu melakukan yang terbaik dan berharap saya dapat mencapai sasaran saya.

“Perlawanan pertama saya (menentang Ygor Coelho) di sini tidak begitu baik, begitu juga dengan aksi kedua. Jadi mari lihat sama ada saya boleh menahan bahang pertemuan dengan Lin Dan di suku akhir.”

Kali terakhir kedua-dua pemain yang boleh dilabel legenda ini ialah di Kejohanan Badminton Asia pada tahun lalu yang menyaksikan Lin Dan menang 21-13, 21-15.

Perseteruan kedua-duanya memang begitu hebat dengan watak Lin Dan turut berada dalam filem biografi bertajuk Lee Chong Wei: Rise of the Legend yang mula ditayangkan di pawagam sejak semalam.

Sementara itu, gandingan beregu nombor satu negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong meneruskan langkahan mereka untuk layak ke suku akhir.

Begitupun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu juga dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 16-21, 23-21, 21-12 ke atas wakil tuan rumah, Marcus Ellis-Chris Langridge di pusingan kedua.

Lawan V Shem-Wee Kiong yang kali terakhir menjulang gelaran di Siri Super Dunia 2016 di suku akhir ialah pilihan kedua kejohanan, Mathias Boe-Carsten Mogensen dari Denmark.

Begitupun, pasangan kedua negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir apabila tewas kepada pilihan utama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo dari Indonesia dengan keputusan 21-17, 20-22, 21-13.

Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei juga tersingkir selepas tewas 24-22, 21-18 kepada pemain Jepun, Aya Ohori dalam aksi perseorangan wanita – berita harian