RAWANG: Polis menahan 33 individu termasuk pekerja dan pemain yang sedang leka berjudi selepas menyerbu sebuah premis yang menyediakan mesin judi simulator di Seksyen 7, di sini, malam tadi.

Pegawai Turus Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Deputi Superintendan Norhizam Bahaman, berkata berikutan itu, polis merampas 10 unit mesin simulator pelbagai jenama.

Katanya, turut dirampas dalam serbuan jam 11.40 malam itu, 30 mesin slot dan wang tunai RM5,229 dipercayai wang hasil taruhan.

“Siasatan awal mendapati premis judi ini hanya membenarkan pemain judi warga asing memasuki premis.

“Premis ini didapati menggunakan lesen permainan kanak-kanak sebagai pelindung bagi mengelakkan premis diserbu,” katanya di sini, hari ini, selepas mengetuai serbuan.

Norhizam berkata, semua tahanan dibawa ke Balai Polis Rawang, untuk proses dokumentasi dan tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 55b, Seksyen 39b dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 – berita harian