GERIK : Seorang lelaki berusia 26 tahun yang mengalami masalah kemurungan dikhuatiri hilang selepas keluar rumah seorang diri menuju ke ladang getah Papulut, Lawin di sini sejak pagi semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa, ibu mangsa Suriana Mohd Marzuki, 47, menyedari kehilangan anaknya itu setelah mangsa keluar dari rumah pada pukul 7 pagi pada Rabu.

Malah katanya, usaha pencarian ahli keluarga mangsa yang dikenali sebagai Mohd Hazrin Hamzah di sekitar ladang getah sejak semalam juga tidak berhasil.

“Pada 4 Mac, pukul 7 pagi, anak lelaki pengadu yang dalam kemurungan telah keluar rumah seorang diri dan masuk ke ladang getah Papulut, Lawin.

“Ketika ini masih belum balik ke rumah, pihak keluarganya mencari di sekitar ladang getah itu tetapi masih belum menjumpainya.Kemudian pengadu datang ke Balai Polis Gerik untuk membuat aduan hari ini.

“Orang hilang ini ketinggian lebih kurang 160cm, berkulit sawo matang dan berbadan kurus,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Justeru itu, katanya Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diwujudkan di dewan orang Felda Papulut, Lawin, Gerik.

Ujarnya, lokasi pencarian menjurus di ladang getah tersebut termasuk kawasan di sekitar Lawin.

Antara agensi yang terlibat ialah PDRM, bomba, Angkatan Pertahanan Awam, RELA dan bantuan dari orang awam.

“Sebaik saja menerima laporan, operasi mencari dan menyelamat dilancarkan dan sehingga jam 7 malam ini, mangsa belum ditemui.

“Operasi ini dihentikan untuk hari ini, memandangkan hari hampir malam dan akan disambung kembali esok, perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari masa ke semasa,” katanya.