DENVER, Colorado – Pihak berkuasa di Colorado menangkap seorang lelaki kelmarin kerana disyaki membaling Kitab Injil ke dalam sebuah masjid selepas dia memecahkan beberapa buah tingkap dan sebuah pintu kaca masjid berkenaan, kata polis.

Suspek juga menterbalikkan perabot di dalam masjid itu.

Joseph Giaquinto, 35, ditahan dan didakwa kerana menceroboh dan melakukan jenayah kebencian di masjid berkenaan yang dikenali sebagai Pusat Islam Fort Collins pada Ahad lepas, kata Jabatan Polis Fort Collins dalam satu kenyataan.

Ketua Polis Fort Collins, John Hutton berkata, insiden itu mencetuskan impak se­benar kepada komuniti Islam di bandar tersebut.

“Kami tidak akan menerima perbuatan kebencian dalam komuniti kami dan saya harap penangkapan ini memberikan mesej yang jelas,” katanya.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan seorang lelaki menendang pintu masjid berkenaan sekitar pukul 4 pagi pada Ahad lalu.

Suspek menterbalikkan beberapa buah bangku, meme­cahkan tingkap dan melontar Kitab Injil ke dalam bangunan masjid, kata polis.

Fort Collins mempunyai kira-kira 60,000 penduduk dan terletak sekitar 96 kilometer ke utara Denver. Bandar itu juga menempatkan kampus Universiti Negeri Colorado.

Dalam pada itu, Majlis Hubungan Islam-Amerika yang berpangkalan di Washing­ton menyatakan, pihak­nya te­lah merekodkan 34 kes vandalisme terhadap ma­s­jid di 12 negeri di Amerika Syarikat sejak awal tahun ini. – Reuters