TAPAH – Seorang lelaki warga Bangladesh maut setelah motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 43, Jalan Ipoh-Teluk Intan di sini hari ini.

Mangsa, Hosen Alamgir, 32, yang menunggang motosikal jenis Demak DVS mengalami kecederaan parah disahkan maut dalam kejadian pada pukul 2.10 petang.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, ketika kejadian, lori dipandu lelaki berusia 31 tahun itu dalam perjalanan menuju ke Teluk Intan.

Katanya, apabila sampai di tempat kejadian, lori berkenaan telah dilanggar di bahagian hadapan oleh motosikal ditunggang mangsa yang datang dari arah bertentangan.

“Ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan menuju ke Ipoh. Kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera parah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat,” katanya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE.