KEPALA BATAS: Seorang wanita berusia 33 tahun dibelasah suaminya yang berang kerana ditegur membawa anak perempuan mereka berusia enam tahun keluar untuk minum minuman keras, di Taman Mesra, Bagan Lalang, dekat sini jam 8 malam, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata suspek berusia 40 tahun itu marah dengan teguran isterinya, sebelum bertindak menumbuk bahagian badan dan kepala serta menolak mangsa hingga terjatuh ke lantai.

“Lelaki itu kemudian memijak perut dan menendang isterinya beberapa kali selain mencekik serta mengugut mahu membunuhnya.

“Anak perempuan berusia 13 tahun kemudiannya cuba membantu mangsa tetapi ditampar bapanya sebelum seorang lagi anak pasangan itu meminta tolong jiran,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa memberitahu sering dipukul suaminya kebelakangan ini kerana perselisihan faham.

“Ketika kejadian, mangsa menegur suaminya yang membawa anak mereka keluar minum minuman keras tetapi suaminya bertindak di luar jangka.

“Suspek sudah ditahan semalam dan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek negatif. Kes disiasat mengikut Seksyen 323

kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana memukul menggunakan tangan, kaki dan mengugut mangsa,” katanya.