KOTA BHARU: Pemilik restoran dan seorang pekerja warga Thailand cedera ditembak lelaki berjubah gelap di depan premisnya di Kok Lanas di sini, jam 2.30 pagi tadi.

Ketika kejadian kedua-dua mangsa berada dalam restoran berkenaan apabila mereka tiba-tiba didatangi dua lelaki menunggang sebuah motosikal.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Ibrahim Sharif berkata, hasil siasatan awal, seorang daripada suspek yang berjubah gelap yang juga pembonceng melepaskan beberapa das tembakan ke dalam restoran itu.

“Akibatnya, pemilik restoran berusia 35 tahun cedera di dada dan bahu kanan manakala pekerjanya berusia 40-an cedera di punggung.

“Beberapa pelanggan dalam restoran berkenaan selamat. Suspek bersama rakannya yang berpakaian biasa kemudian melarikan diri,” katanya dihubungi hari ini.

Katanya, pelanggan restoran berkenaan membawa kedua-dua mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII).

“Keadaan pemilik restoran kini stabil. Belum ada tangkapan dibuat dan kami masih menyiasat motif serangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian