TAIPING : Seorang lelaki ditahan kerana disyaki menceroboh dan mengambil hasil hutan kayu jaras bakau di Hutan Simpan Limau, dekat sini, pada Jumaat.

Suspek disyaki melakukan percerobohan itu di Kompartmen 50 hutan simpan berkenaan yang melibatkkan kawasan kira-kira satu hektar.

Menurut kenyataan Jabatan Perhutanan Perak, pasukan serbuan juga telah menemui satu sampan panjang berukuran 17 kaki berserta enjin bot jenama Yamaha Enduro 30HP, satu bot tongkang dan 400 batang kayu jaras.

“Kesemuanya telah disita untuk tindakan selanjutnya oleh pihak Jabatan Perhutanan Negeri Perak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Menurutnya, ekoran daripada itu, satu laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Trong dan suspek telah dilepaskan dengan bon jaminan polis.

Katanya, lanjut akan dijalankan oleh Unit Siasatan Seksyen Operasi dan Penguatkuasaan Hutan, Jabatan Perhutanan Negeri Perak dan suspek boleh didakwa di bawah Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 .

Menurut kenyataan itu lagi, suspek juga boleh dituduh dibawah Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara 1984 iaitu kesalahan memasuki hutan tanpa permit yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Bagaimanapun, ianya akan diputuskan setelah siasatan lengkap dijalankan oleh pihak penyiasat jabatan,” ujarnya

Katanya, Jabatan Perhutanan Negeri Perak amat menggalakkan dan mengalu-alukan sebarang maklumat awam berhubung kegiatan mengambil hasil hutan tanpa kebenaran dan juga aktiviti penerokaan Hutan Simpan Kekal (HSK) secara haram di Negeri Perak.

“Pihak jabatan juga ingin menasihatkan individu atau masyarakat awam mengenai sebarang aktiviti pengambilan hasil hutan secara haram dari HSK adalah merupakan suatu kesalahan yang boleh didakwa di bawah APN 1984,” tambahnya.