KAJANG: Seorang lelaki berusia 23 tahun yang masuk ke Balai Polis Sungai Long, Kajang dan cuba merampas senjata api anggota sentri yang sedang bertugas, ditahan polis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.40 pagi itu, suspek dikatakan di bawah pengaruh dadah sempat bergelut dengan anggota berkenaan menyebabkan anggota cedera pada pergelangan tangan kanan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, berkata suspek ditahan dengan bantuan anggota Pejabat Pertanyaan Balai.

‎”Suspek seorang lelaki berumur 23 tahun masuk ke dalam Balai Polis Sungai Long dan secara tiba-tiba cuba merampas senjata api jenis HK MP5 yang digunakan anggota sentri yang sedang bertugas.

“Ketika kejadian, berlaku pergelutan antara suspek dengan anggota terbabit, namun suspek dapat ditahan dengan bantuan anggota Pejabat Pertanyaan Balai,” katanya dalam kenyataan.

‎Beliau berkata, siasatan awal mendapati motif suspek bertindak demikian dipercayai akibat di bawah pengaruh dadah dan suspek mengaku pembabitannya dengan dadah.

‎”Semakan rekod jenayah mendapati suspek memiliki satu rekod jenayah berkaitan kes tipu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 90 Akta Polis kerana berkelakuan tidak senonoh di balai polis dan Seksyen 332 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap penjawat awam,” katanya – berita harian