IPOH – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin atas tuduhan membunuh bapanya sendiri, dua minggu lalu.

Tertuduh, Pang Kar Foong, 49, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian kepada Pang Ket Tai, 75, dengan menggunakan botol dan serpihan botol kicap.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Besar K/B Gunung Rapat, Ipoh pada jam 6.30 petang, 12 September lalu.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hujuman mati, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, K Darinee manakala tertuduh di wakili peguam R Rajasegaran.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 9 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat.