PASIR PUTEH: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Puteh pada Ahad atas dua pertuduhan menyebabkan kematian anak lelaki berusia lapan bulan pada 13 Oktober lepas.

Tertuduh Wan Roslan Wan Mustapa, 40, turut didakwa memukul isterinya.

Tiada pengakuan dicatatkan tetapi tertuduh mengaku faham ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.

Wan Roslan didakwa menyebabkan kematian anak tunggalnya, Wan Mohamad Afiq Zafwan Wan Roslan di Kampung Sungai Dua, Repek, Bachok pada 10 pagi, 13 Oktober lepas.

Untuk kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati.
Bagi pertuduhan kedua, Wan Roslan didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap isterinya, Notlr Hanifah Mohamed, 32 tahun menggunakan batang penyapu pada tarikh dan lokasi yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326a kanun sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih10 tahun jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Siti Asma’a Che Omar dan tertuduh diwakili oleh peguam Muhamad Izwan Ishak.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan untuk pemerhatian dan menetapkan 24 November depan untuk sebutan semula kes.

Media sebelum ini melaporkan seorang bayi lelaki ditemui mati dengan kesan kecederaan dan badan dilumur garam dalam satu karung guni yang disorok di bahagian dapur rumah pasangan suami isteri.