PENGKALAN HULU: Seorang lelaki lemas ketika memancing bersama tiga rakannya di sebuah lombong di Kampung Pong, di sini, hari ini.

Mayat mangsa, Mohammad Sham Mohd Hassan, 33, ditemui anggota bomba dan penyelamat kira-kira jam 4.40 petang.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 11.29 pagi.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, anggota bomba menerima maklumat daripada tiga rakan mangsa yang memaklumkan mangsa lemas.

“Operasi pencarian secara ‘water surface searching’ telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut jurucakap itu lagi, anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JPBM yang tiba dilokasi pada 3.45 petang melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kaedah selaman ke dasar lombong.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.