Manjung – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot nelayan ketika menjala ikan di muara laut berhampiran Kampung Telaga Nenas, Ayer Tawar dekat sini pada Jumaat malam.

Menurut laporan awal dari jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mangsa dikenali sebagai Azrin Hamidun berusia dalam lingkungan 30 tahun.

“Pihak kami menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.28 malam sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Tawar bergegas ke lokasi.

“Maklumat daripada saksi menyatakan terdapat seorang mangsa lelaki terjatuh dari bot nelayan ketika menjala,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya lagi, jarak mangsa dipercayai jatuh dari tebing dianggarkan sejauh 1 kilometer.

Tambahnya, sehingga kini operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang giat dijalankan.Sumber: Astro Awani