SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 37 tahun bagi membantu siasatan kes isterinya ditetak dalam kejadian di Taman Klang Jaya, dekat sini, Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli, berkata suspek utama itu adalah antara empat suspek yang ditahan di beberapa lokasi secara berperingkat sejak Jumaat lalu hingga hari ini.

“Suspek utama ditahan hari ini. Turut dirampas daripada kesemua suspek adalah sebuah kereta, sebilah parang dan beberapa telefon bimbit,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi Khamis lalu, mangsa berusia 42 tahun yang berada di tempat kerja dikatakan dikunjungi dua lelaki dan seorang daripadanya bertindak mengheret mangsa ke arah sebuah kereta jenis Proton Satria berwarna biru.

“Ketika diheret ke kereta, mangsa turut ditetak beberapa kali oleh seorang suspek menggunakan parang panjang menyebabkan kecederaan di kepala, kedua-dua kaki, pergelangan tangan kiri dan belakang badan sebelum kedua-dua suspek beredar dengan membawa wanita berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsul Amar berkata berdasarkan maklumat terbaharu yang diterima pihaknya, wanita berkenaan dihantar ke sebuah hospital di luar Lembah Klang oleh dua suspek dan keadaannya dilaporkan stabil.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati pasangan itu yang mempunyai tiga anak, tidak mendaftarkan perkahwinan mereka dan motif kejadian dipercayai akibat cemburu. Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan bunuh. – BERNAMA