TAIPING: Seorang lelaki ditemui mati dalam sebuah kenderaan jenis Produa Viva di persimpangan lampu isyarat Taman Kota Jaya di sini, pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 9.05 pagi mengenai insiden itu dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping bergegas ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, mereka mendapati terdapat seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu dalam kereta jenis Perodua Viva.

“Anggota bomba kemudian memecahkan cermin tingkap bahagian penumpang belakang sebelum mengeluarkan mangsa,” katanya dalam satu laporan dikeluarkan sebentar tadi, di sini.

Katanya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh anggota perubatan di tempat kejadian sebelum diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan lanjut.