LELAKI bertatu di tangan dan kaki ditemui maut dalam keadaan separuh bogel dan pecah kepala dipercayai mangsa langgar lari berhampiran lampu isyarat Taman Batik, Jalan Lencongan Barat, Sungai Petani, hari ini.

Mayat mangsa dipercayai gelandangan berusia 40-an itu ditemui jam 6.07 pagi oleh seorang wanita yang sedang memandu kereta melalui kawasan itu untuk ke tempat kerjanya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda Superintendan Sazalee Adam, berkata, ketika kejadian hujan lebat sebelum saksi melihat mangsa di atas jalan sebelum menghubungi pihak polis.

Menurutnya, polis yang tiba di lokasi kejadian kemudian mendapati mangsa dalam keadaan separuh bogel dan kepalanya pecah.

“Pemeriksaan pada badannya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan diri, malah pada awalnya lelaki itu disyaki menjadi mangsa perbuatan jenayah.

“Bagaimanapun, siasatan lanjut mendapati mangsa disyaki mangsa langgar lari oleh kenderaan yang melalui kawasan itu berdasarkan kecederaan dialaminya,” katanya.

Katanya, mangsa dipercayai gelandangan malah sebelum kejadian itu dia ditemui anggota peronda polis jam 12 tengah malam sedang duduk di tepi jalan di Bandar Seri Astana.

“Polis kemudian mengarahkannya beredar sebelum mayatnya ditemui berhampiran lampu isyarat Taman Batik.

“Mayat mansga dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk bedah siasat,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian diminta tampil membantu siasatan – hmetro