CHUKAI: Polis meminta kerjasama orang ramai mengesan seorang lelaki kaki intai, yang didakwa menceroboh tandas wanita untuk mengintai di sebuah tandas stesen minyak di sini, semalam.

Ketua Polis daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim, berkata polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 30-an yang dipercayai menjadi mangsa intai suspek.

Beliau berkata, mangsa dikatakan masuk ke tandas berkenaan, kira-kira jam 8 pagi, sebelum suspek berusia antara 20-an hingga 30-an mengikuti mangsa masuk ke tandas sama.

“Kita sudah melihat kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di kawasan tandas itu bagi mengenal pasti wajah suspek dan nombor pendaftaran motosikal suspek.

“Suspek dilihat tiba di pekarangan tandas itu menunggang motosikal Yamaha Lagenda berwarna biru dan pada mulanya suspek dilihat mundar mandir sebelum mengekori wanita itu masuk ke tandas,” katanya.

Mohd Said berkata, suspek tidak lama kemudian bergegas keluar dari tandas menuju ke arah motosikalnya, sebelum melarikan diri.

“Kita akan menyiasat dari segenap aspek mengenai kejadian ini bagi mengetahui motif dan ini kes pertama mengintai di tandas stesen minyak di daerah ini.

“Kita menasihatkan pengguna supaya sentiasa mengambil langkah keselamatan bagi memastikan kejadian sama tidak berulang,” katanya sambil memuji langkah pengusaha stesen minyak meletakkan CCTV di kawasan sunyi sebagai langkah keselamatan.

Orang ramai yang mengenali suspek diminta menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana berkelakuan biadab.