KOTA SAMARAHAN – Seorang lelaki direman selama tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki memasukkan jarinya ke dalam kemaluan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di sebuah rumah di Kampung Tambirat, Asajaya di sini pada 26 Julai lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata, suspek yang berusia 22 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan kes mencabul kehormatan anak saudaranya pada Isnin lalu.

“Suspek yang tidak mempunyai sebarang pekerjaan itu akan ditahan reman sehingga 8 Ogos depan untuk disiasat Seksyen 14(a) dan (d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi. – K! ONLINE