TAPAH: Polis menjumpai sebuah pasu tanah berisi arang yang telah dibakar di dalam kereta mangsa yang mati di kawasan Rawat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan hari ini.

Ketua Polis Daerah Tapah, Seperintendan Wan Azharudin Wan Ismail berkata, pasu itu ditemui di ruang kaki penumpang bahagian belakang kereta jenis Honda Jazz tersebut.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap si mati, Ng Kar Ming, 26, yang beralamat di Menglembu, Ipoh mendapati tiada kesan kecederaan atau unsur-unsur jenayah.

“Tiada saksi ditempat kejadian dan juga tiada CCTV ditempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, si mati yang bekerja sebagai tukang cat kenderaan adalah anak bongsu daripada tiga beradik dan tinggal bersendirian di sebuah kondominium di Menglembu.

Wan Azharudin berkata, si mati juga tidak menceritakan apa-apa masalah kepada keluarganya.

Katanya, bedah siasat akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.