Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Seorang lelaki tidak sempat menyelamatkan diri dalam sebuah kebakaran rumah di Jalan Menglembu Timur 21, Taman Menglembu Timur pada malam Isnin.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Puteh, Pegawai Bomba Kanan II Mohamed Hariri Ahmad Saibi berkata pihaknya menerima panggilan mengenai insiden itu sekitar 11.12 malam.

“Setibanya di lokasi kejadian kami mendapati sebuah rumah berkeluasan 30X40 musnah dijilat api dalam 60 peratus.

“Mangsa dipercayai berada di bilik belakang rumah berhampiran dengan pintu belakang dan dipercayai maut dalam kebakaran tersebut,”katanya kepada pemberita.

Jelas Mohamed Hariri pihaknya masih lagi menjalankan operasi pemadaman buat masa ini untuk memastikan keadaan benar-benar selamat.

Difahamkan, punca kematian sebenar mangsa berkenaan masih lagi dalam siasatan buat masa ini.