TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas dihempap kereta yang dipandunya dalam kemalangan di Batu 11, Jalan Changkat Jong, dekat sini awal pagi ini.

Mangsa yang dikenali sebagai R. Darma Raja, 24, disahkan maut ditempat kejadian manakala seorang rakannya cedera parah.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka mendapat panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 4.41 pagi.

Katanya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Proton Wira telah terbabas lalu terbalik ke dalam parit di bahu jalan.

“Mangsa yang tercampak telah dihempap kenderaan sendiri manakala seorang rakannya telah dikeluarkan oleh orang awam dan dibawa ke hospital oleh pegawai perubatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, anggota bomba menggunakan peralatan menyelamat untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit sebelum menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.