IPOH: Seorang lelaki berusia 54 tahun maut selepas dipukul dan dipijak berkali-kali di belakang rumah kosong yang dihuninya di Kampung Batu Putih Kampar di sini, 21 Ogos lalu.

Mangsa yang kemudiannya menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini dilaporkan meninggal dunia jam 3.30 petang 1 September lalu.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, hasil bedah siasat yang dijalankan melaporkan kematian mangsa adalah berpunca daripada kecederaan kepala disebabkan oleh objek tumpul dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebagai kes bunuh.

Hasron Nazri berkata, pada sekitar 1 petang 21 Ogos lalu mangsa dijumpai dalam keadaan berdarah serta tidak sedarkan diri di belakang rumah yang dihuninya sebelum dibawa ke Hospital Kampar.

Katanya, mangsa dirujuk ke HRPB kerana pemeriksaan mendapati mangsa mengalami patah tulang leher dan rahang serta koma.

“Maklumat dari pegawai perubatan menyatakan pesakit berkenaan dalam keadaan tidak stabil dan hasil pemeriksaan luaran didapati terdapat bengkak di bahagian kiri kepala dan luka di dada.

“Hasil imbasan di bahagian kepala dan leher didapati mangsa mengalami pendarahan di otak sebelah kiri dan retak tulang leher. Kecederaan kemungkinan terjatuh sendiri, dipukul atau kemalangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Menurutnya, berikutan itu laporan polis dibuat di Balai Polis Kampar oleh adik mangsa pada 28 Ogos lalu.

Hasron Nazri berkata, hasil temubual dengan abang mangsa menjelaskan mangsa tidak bekerja sejak hampir lima tahun lalu selepas berhenti menjadi sami di Kuil Batu Puteh.

“Mangsa tidak menggunakan telefon bimbit dan tinggal di sebuah rumah kosong yang ditinggalkan oleh penghuninya.

“Mangsa dikatakan tinggal dengan seorang lelaki beberapa bulan yang lalu, pemeriksaan di tempat kejadian tidak menemui sebarang senjata yang boleh dikaitkan dengan kejadian berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, susulan itu polis berjaya menangkap suspek seorang lelaki berusia 30 tahun di hadapan Maybank, Jalan Besar Tapah dekat sini pada 30 Ogos lalu.

“Hasil temubual awal suspek mengaku bergaduh dan memijak bahagian kepala dan leher mangsa beberapa kali.

“Suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952

Katanya, kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Kanan pada 8 Ogos lalu dan mendapat arahan untuk tuduh suspek di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada 11 September jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Kampar.