IPOH : Seorang lelaki maut ditikam selepas terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah kedai aksesori kereta di Jalan Lapangan Siber 1, Bandar Siber Botani di sini hari ini.

Mangsa, Kiranjeet Singh Puram Singh, 45, ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan tiga kesan tikaman di badan.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Nordin Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat bahawa terdapat pergaduhan di lokasi kejadian pada pukul 8.05 malam

Katanya, setibanya anggota polis di tempat kejadian, seorang lelaki didapati terbaring dalam keadaan berlumuran darah dipercayai dibunuh.

“Pemeriksaan pada mayat lelaki terbabit mendapati terdapat tiga kesan tikaman yang mana dua di bahagian depan dan satu di belakang badan.

“Mangsa dipercayai ditikam dengan objek tajam namun kita masih belum menemui senjata yang digunakan dalam kejadian itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurut Mohamad Nordin, siasatan awal mendapati mangsa yang tidak bekerja itu baru dua hari menyewa bilik di tingkat atas rumah kedai tiga tingkat berkenaan.

Katanya, pihaknya percaya pergaduhan itu melibatkan mangsa dan seorang suspek, usaha memburu lelaki terbabit sedang dijalankan.

“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya. -UTUSAN ONLINE