LELAKI maut selepas kereta dipandu merempuh kenderaan lain di Kilometer 324.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara dekat Tapah, semalam.

Dalam kemalangan 8.21 malam itu, Yong Chi Yong, 23, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di badan selepas tersepit dalam kereta dipandunya.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke utara.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan mangsa dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan yang tidak dapat dipastikan.

“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Tapah untuk bedah siasat” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti satu lagi kenderaan yang turut terbabit dalam kemalangan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-myMetro