KLUANG: Seorang lelaki maut akibat cedera parah selepas terkena lima tetakan ketika sedang minum bersama rakannya di sebuah restoran di Kluang Baru dekat sini, kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kluang, Deputi Supritendan Abdul Razak Abdullah Sani berkata, ketika kejadian, mangsa, Beh Lee Ming, 47, didatangi empat lelaki tidak dikenali dengan menaiki dua motosikal.

Katanya, seorang daripada lelaki berkenaan secara tiba-tiba melibaskan parang yang dibawanya di belakang mangsa menyebabkan semua pelanggan bertempiaran melarikan diri.

“Mangsa yang turut terkejut dengan kejadian itu cuba melarikan diri namun berjaya dikejar dan ditahan lelaki terbabit yang kemudiannya menetak mangsa di punggung, lengan kiri dan kaki menyebabkan kedua-dua kaki mangsa hampir putus.

“Melihat keadaan itu, seorang rakan mangsa menghubungi ambulans untuk mendapatkan bantuan rawatan kecemasan sebelum dikejarkan ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata, mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan dipercayai akibat kehilangan banyak darah.

“Bertindak daripada laporan, polis menahan seorang lelaki berusia 47 tahun yang bekerja sebagai tukang servis penghawa dingin bersama teman wanitanya berumur 43 tahun.

“Kedua-dua mereka kini ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 31 Mei untuk siasatan lanjut,”Katanya.

Menurut Abdul Razak, motif serangan masih dalam siasatan dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan – berita harian