IPOH: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya terjunam ke dalam parit di Jalan Changkat Larang, dekat sini, awal lagi ini.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 1.52 pagi.

Katanya, setibanya di tempat kejadian, pihaknya mendapati sebuah pacuan empat roda jenis Hilux terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Seorang pemandu berumur 47 tahun didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, siasatan awal mendapati lelaki itu telah ditahan untuk diperiksa oleh sepasukan anggota polis yang sedang membuat tugas Ronda Cegah Jenayah di Jalan Pasir Puteh kerana memandu dalam keadaan merbahaya dan mencurigakan.

Dia bagaimanapun terus memecut laju melarikan diri sejauh enam kilometer sebelum hilang kawalan di satu selekoh lalu terbabas dan terjunam ke dalam parit.

Siasatan awal mendapati, di mati yang beralamat di Johor tidak mempunyai rekod jenayah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.