TELUK INTAN: Seorang lelaki maut selepas kenderaan jenis Honda Accord dipandunya bertembung dengan PeroduaAlza di kilometer 44.5 Jalan Teluk Intan – Sitiawan pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, mangsa berusia 53 tahun disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah manakala pemandu kenderaan Perodua berusia 35 tahun pula mengalami kecederaan patah kaki kanan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, dipercayai kemalangan itu berlaku selepas mangsa memasuki laluan bertentangan.

 

“Kemalangan berlaku semasa Pemandu Honda Accord dari arah Setiawan hala ke Teluk Intan telah memasuki laluan bertentangan dan telah bertembung dengan kenderaan Perodua Alza dari arah Teluk Intan hala ke Setiawan.

 

“Pemandu Honda Accord meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Perodua Alza mengalami kecederaan patah kaki sebelah kanan dan dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

 

Tambah beliau siasatan awal di lokasi kejadian mendapati ketika kemalangan keadaan cuaca cerah serta permukaan jalan yang lurus dan kering.

 

Sementara itu, Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat dari balai Sitiawan, PBK II Abd Rahman Mat berkata, pihaknya terpaksa mengeluarkan mangsa yang maut dengan menggunakan peralatan khas.

 

“Semasa di tempat kejadian didapati mangsa telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, anggota telah keluarkan mangsa dengan peralatan kecemasan sebelum diserahkan kepada pihak polis.

 

“Anggota juga turut memberikan bantuan rawatan kecemasa pada mangsa yang cedera dan mangsa telah dihantar ke hospital dengan menggunakan ambulans,” ujar beliau.