IPOH – Seorang lelaki maut setelah motor yang dinaikinya terbabas dan melanggar batu pengadang jalan di Jalan Kompleks Sukan 5, di sini awal pagi tadi.

Mangsa yang berumur 48 tahun beralamat di Kampung Baru Pasir Pinji, Ipoh disahkan mati kira-kira pada pukul 3.25 pagi.

 

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila motor yang dinaiki mangsa dari arah Sungai Senam yang menghala ke Taman Ipoh telah hilang kawalan.

“Motor tesebut terbabas sebelum melanggar batu pengadang jalan di bulatan hadapan M-Roof Hotel, berdekatan Taman Ipoh.

“Akibat kemalangan itu, mangsa telah maut di tempat kejadian,” ujar beliau.

Mohd Ali berkata mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh dan bedah siasat telah dijalankan pada jam 9 pagi tadi.

“Siasatan masih diteruskan, namun tiada tangkapan yang dibuat,” tambah beliau.