KUALA LUMPUR : Perselisihan faham antara dua lelaki selepas terlibat dalam kemalangan di Kilometer 239 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran susur Bandar Baru Bangi, dekat sini semalam berakhir tragedi apabila seorang daripada mereka maut.

Difahamkan, mangsa berusia 29 tahun itu terlibat dalam kemalangan dengan suspek berusia awal 40-an yang memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) sekitar pukul 1.40 petang sebelum berlakunya perselisihan faham sehingga membawa kepada pergelutan.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd. Yussof berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kematian mangsa daripada pihak sebuah hospital di Nilai, Negeri Sembilan pada pukul 3.40 petang.

“Sejurus mendapat maklumat, pihak Bahagian Siasatan Jenyah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah menjalankan siasatan dan mendapati punca kematian mangsa adalah berpunca daripada insiden perselisihan faham semasa kemalangan di lokasi kejadian.

“Kami kemudian menahan sepasang suami isteri masing-masing berusia awal 40-an dan lewat 30-an bagi membantu siasatan.

Ujar Ahmad Dzaffir, kedua-dua suspek akan direman di Mahkamah Kajang pada pukul 12 tengah hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini boleh berhubung dengan mana-mana balai polis terdekat atau hubungi Pegawai Penyiasat kes iaitu Asisten Superintenden Siti Sarah Aisyah Saad di talian 016-4064202,” tambahnya.