Oleh: Nazialita Geynna Maharan
IPOH: Polis telah merakamkan percakapan daripada enam individu yang disyaki terlibat dalam pergaduhan melibatkan pegawai Imigresen dan anggota polis dengan orang awam yang ditularkan di media sosial.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, ia adalah susulan satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Tanjung Rambutan pada 11 September mengenai kes tersebut.
Menurutnya, dalam laporan itu, pengadu yang merupakan seorang lelaki Melayu mendakwa telah dipukul oleh beberapa lelaki.
Katanya, lelaki itu mendakwa suspek termasuk dua orang yang bertugas sebagai pegawai imigresen di Ipoh dan anggota polis berpangkat koperal dari Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta.
“Pengadu memberitahu bahawa suspek memukulnya setelah dia membuat teguran dan menyampaikan rasa tidak puas hati penduduk Taman Putra Indah mengenai gelanggang Silat Warisan Gayung yang terabai dan usang serta dipenuhi sampah sarap.
“Atas teguran itu, suspek telah memanggil beberapa orang rakannya ke rumah mangsa lalu mengugut akan membakar rumah dan menembak pengadu.
“Semasa pengadu keluar untuk berbincang, secara tiba-tiba suspek telah menumbuk dan menendang beliau sehingga lebam pada badan dan kakinya,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.
Chang Keong berkata, pengadu merupakan Setiausaha Persatuan Penduduk Taman Putra Indah dan suspek yang dikatakan seorang pegawai Imigresen, adalah ahli Persatuan Silat Warisan Gayung.
Menurutnya, pengadu membuat laporan polis itu bagi tujuan siasatan lanjut dan telah menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.
“Polis menyiasat aduan ini di bawah Seksyen 147 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan telah merakam percakapan mangsa dan beberapa orang saksi termasuk pegawai imigresen serta anggota PGA berkenaan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Chang Keong menafikan dakwaan yang tular bahawa pihak polis tidak mengambil sebarang tindakan ke atas kes berkenaan.
Beliau memberitahu, mangsa hanya hadir ke balai polis untuk dirakam percakapan pada 13 September (Rabu) setelah mendapat rawatan di HRPB.
“Setakat ini polis telah merakam enam percakapan dan siasatan masih diteruskan,” katanya lagi.