IPOH: Seorang lelaki ditahan polis selepas dipercayai mengamuk dan memecahkan mesin juruwang automatik (ATM) serta mesin deposit tunai (CDM) di sebuah bank di Greentown, tengah malam tadi.

Suspek berusia 42 tahun dan beralamat di Taman Ramai di sini, dicekup sepasukan polis yang menerima aduan mengenai tindakan lelaki itu membuat khianat di bank terbabit.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby, berkata pihaknya menerima panggilan awam pada jam 12.30 tengah malam mengadu seorang lelaki sedang memecahkan beberapa mesin ATM dan CDM di bank berkenaan.

Setiba di lokasi kejadian, katanya, polis mendapati suspek masih berada di dalam bank itu dan sedang memecahkan beberapa mesin ATM.

“Polis kemudian menghampiri suspek dan memperkenalkan diri dengan menunjukkan kad kuasa sebelum menangkapnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, berlaku pergelutan antara polis dengan lelaki itu yang cuba melarikan diri sehingga suspek mengalami kecederaan di bahagian kepala.

“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati ada enam mesin di bank berkenaan dengan empat daripadanya rosak pada bahagian cermin akibat dipecahkan.

“Namun, tempat duit pada mesin terbabit tidak dipecahkan. Siasatan awal mengesyaki suspek berada bawah pengaruh dadah atau alkohol dan ujian saringan air kencing akan dilakukan ke atasnya,” katanya.

Mohd Ali berkata, suspek kini dirawat di hospital kerana mengalami sedikit kecederaan dan polis tidak menemui sebarang senjata di tempat kejadian.

“Polis percaya suspek memecahkan cermin mesin di bank terbabit menggunakan botol arak. Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian