GEORGETOWN: Impian seorang lelaki kurang upaya (OKU) memiliki kediaman sendiri yang ditawarkan kerajaan negeri, masih samar selepas menanti sejak lebih tiga tahun lalu.

“Tunggu kami akan call (hubungi) nanti,” itulah jawapan sering diberikan kepada Mohd Suhaimi Mohd Hashim, setiap kali menghubungi Bahagian Perumahan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mohd Suhaimi, 31, berkata dia gembira apabila menerima surat tawaran memiliki rumah kos sederhana rendah di Jalan S.P Chelliah pada 8 Januari 2015.

Beliau berkata, surat yang diterima adalah sekadar memaklumkan mengenai tapisan pra kelulusan untuk projek rumah kos sederhana rendah bernilai RM72,500 di situ.

Katanya, selepas lima bulan menanti, surat tawaran akhirnya dikeluarkan pihak pemaju untuk hadir membuat pinjaman bank termasuk menyertakan semua dokumen yang diperlukan.

“Kegembiraan saya ketika itu sukar untuk diungkapkan selain turut mendapat kelulusan pinjaman bank dan bakal memiliki rumah sendiri tidak lama lagi,” katanya yang mengadu ke pejabat NSTP di sini, semalam.

Mohd Suhaimi berkata, apa yang membimbangkannya kini adalah pinjaman bank apabila terpaksa memperbaharui setiap tahun, biarpun tanpa memiliki surat perjanjian pembelian dan pemilikan rumah (S&P).

“Saya turut diberitahu pinjaman akan terbatal tanpa surat perjanjian berkenaan dan jika ia benar-benar berlaku penantian selama tiga tahun untuk memiliki rumah sendiri akan sia-sia begitu sahaja.

“Saya sering naik dan turun ke pejabat perumahan sejak 2015 hingga kini tetapi hampa apabila rumah yang dijanjikan itu masih belum diketahui status dan masih belum siap pembinaannya.

“Saya mempunyai keluarga sendiri dan adalah amat penting memiliki rumah mampu milik tersebut,” katanya.

Sementara itu, Jurucakap Bahagian Perumahan ketika dihubungi, memberitahu yang projek pembinaan rumah kos sederhana rendah dekat Jalan SP Chelliah itu masih belum siap.

Beliau berkata, pihaknya akan menghantar surat tawaran dan sekiranya bakal pemilik rumah sudah menerima surat tawaran mereka tidak perlu rasa bimbang atau takut kehilangan rumah.

“Kita akan menghubungi mereka untuk maklumat lanjut dan sekiranya ada sebarang pertanyaan, mereka boleh terus datang ke Bahagian Perumahan untuk maklumat terkini,” katanya – berita harian