BATU GAJAH: Seorang lelaki nyaris maut selepas dipercayai terkena peluru sesat pada leher ketika sedang membersihkan kebun buah-buahan berhampiran Taman Kinta Perdana di sini, pada Rabu petang.

Dalam kejadian pada pukul 5.45 petang itu, Muhammad Safwan Abu Jaapan, 20, dari Kampung Changkat Semanton Serapoh, Parit, cedera parah, namun keadaannya dilaporkan stabil dan sedang menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, ketika kejadian mangsa bersama dua rakannya sedang membersihkan kawasan kebun buah-buahan yang telah diteroka sejak 10 tahun lalu.

Menurutnya, mereka kemudiannya terdengar bunyi letupan sebelum rakan mangsa melihat lelaki itu rebah dengan darah mengalir di lehernya.

“Rakan mangsa terus membawa lelaki itu ke Hospital Batu Gajah untuk mendapatkan rawatan.

“Mangsa dalam keadaan stabil dan telah dirujuk ke HRPB untuk mengeluarkan serpihan disyaki peluru penabur di leher mangsa yang dapat dilihat melalui hasil x-ray yang dilakukan,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Menurut beliau, kejadian disyaki akibat peluru sesat dari pemburu haram yang sering memburu ayam hutan dan binatang lain di kawasan belukar di seberang Sungai Kinta, yang jaraknya kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian.

Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960.