KUCHING: Dokumen peribadi suspek samun dan rogol yang tercicir ketika melakukan jenayah itu di Kenyalang Park, di sini, Rabu lalu membawa kepada penahanan seorang lelaki, semalam.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching di rumah tidak bernombor di Jalan Manggris, di sini, jam 12.10 tengah malam.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ng Ah Lek berkata, suspek dipercayai merogol gadis berusia 17 tahun selepas memecah masuk bilik mangsa jam 1.30 petang, Rabu lalu.

Beliau berkata, suspek bersama seorang lagi rakannya menendang pintu bilik sewa berkenaan yang dijadikan asrama pekerja.

“Mangsa yang sedang berehat terkejut dengan kehadiran suspek yang juga warga tempatan itu sebelum seorang daripada lelaki terbabit merampas wang tunai dan telefon bimbit.

“Suspek yang ditahan polis bagaimanapun menghampiri mangsa sebelum merogolnya,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, ketika kejadian seorang rakan mangsa tiba di bilik berkenaan sebelum berlaku pergelutan dengan suspek yang cuba untuk melarikan diri.

Katanya, dalam pergelutan itu, dokumen peribadi seorang daripada suspek tercicir sebelum mereka melarikan diri.

“Berdasarkan maklumat berkenaan polis berjaya menjejaki suspek dalam tempoh 12 jam selepas kejadian.

“Mangsa sudah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk pemeriksaan lanjut dan suspek direman selama tujuh hari bagi siasatan lanjut manakala seorang lagi suspek giat diburu polis,” katanya – berita harian